08/02/2010

Lingkaran Cahaya dan Orang Berjubah...

Seperti yang diceritakan oleh Ustaz Mohd. Khairuddin Aman Razali at-Takiri.


"Allah tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang hidup kekal lagi terus-menerus mengurus (makhluk-Nya). Dia tidak dihampiri oleh ngantuk dan tidur. Kepunyaannya apa yang ada di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa daripada ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya.
Kursi Allah tidak merasa berat memelihara kedua-duanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Agung." - Maksud ayat al-Kursi (ayat 255 surah al-Baqarah).



PUKUL 10.00 malam, selepas habis memberi kuliah agama di Masjid Universiti Malaya, saya dijemput pula oleh seorang lelaki ke sebuah rumah di Shah Alam, Selangor. Malam itu, saya diminta oleh lelaki berkenaan supaya merawat kawannya yang sakit akibat terkena gangguan yang tidak diketahui puncanya.

Sebelum ke sana, sudah beberapa kali isteri lelaki yang sakit itu menghubungi saya meminta saya membantu memulihkan keadaan suaminya. Mengikut cerita si isteri, suaminya selalu mengamuk sejak belajar ilmu silat. Ilmu yang diamalkan itu menggunakan kaedah menyeru khadam.

Kononnya apabila nama khadam itu diseru, si suami akan naik syeh dan menjadi kuat serta-merta. Ketika itu kekuatannya menjadi luar biasa dan boleh menumbangkan sepuluh orang yang beradu dengannya tanpa masalah.

Malangnya, amalan yang dilakukan itu membawa padah kepada si isteri. Suaminya bukan saja naik syeh ketika bersilat di gelanggang tetapi hingga terbawa-bawa apabila balik ke rumah.
Semasa berada di rumah, ada saja yang tidak kena. Tidak boleh tersilap cakap sedikit, suaminya mudah naik angin. Panas barannya menjadi-jadi. Mujur juga apabila suaminya mengamuk, lelaki itu tidak mencederakan isterinya.

Namun begitu, isterinya tidak tertahan lagi kerana setiap hari asyik dimarahi dan ditengking tanpa sebarang sebab. Keadaan di rumah yang dulunya harmoni dan ceria, menjadi tegang dan merimaskan si isteri. Wanita itu takut kalau tidak diubati segera, dia akan dibelasah suaminya.

Si isteri mengadu sebelum belajar silat tersebut, suaminya tidak berperangai begitu. Dia seorang yang baik, lemah lembut dan tidak pernah meninggi suara.

Bila saya tiba di rumah tersebut, saya meminta izin untuk merawatnya. Alhamdulillah, tanpa sebarang masalah lelaki itu setuju untuk dirawat. Lalu, saya duduk bersila di ruang tamu menghadapnya.

Tubuh lelaki itu sasa dan tinggi. Isterinya duduk di sebelah menemaninya. Saya katakan pada lelaki itu, rawatan saya mudah saja, saya hanya gunakan ayat-ayat suci al-Quran. Tidak ada jampi serapah dan tidak ada amalan yang dilarang dalam Islam. Jadi tidak ada apa-apa yang hendak dikhuatirkan.

Mula-mula saya baca surah al-Fatihah. selepas itu saya baca tiga qul, iaitu surah an-Nas, al-Falaq dan al-Ikhlas. Tidak semena-mena bila saya baca saja ayat-ayat al-Quran, lelaki itu mula naik gelisah.

Dia tidak senang duduk. Dadanya yang bidang terangkat-angkat. Nafasnya seakan merengus. Lengannya yang dua kali ganda saya bergoyang goyang seperti terkena renjatan elektrik.
Saya lihat muka lelaki itu menjadi bengis. Matanya merah menyala memandang ke arah saya.
Lelaki berbadan sasa itu marah sangat bila saya baca al-Quran. Habis baca al-Fatihah, saya baca pula ayat al-Kursi. Tiba-tiba lelaki bertubuh sasa yang sedang saya rawat itu bangun. Anak matanya yang tajam berkilat merenung saya seolah-olah harimau hendak menerkam mangsanya.

Rakan yang sedari tadi duduk menemani saya, jadi pucat mukanya. Dia takut lelaki itu mengamuk dan memukulnya.

Saya tidak berasa gentar sedikit pun walaupun badannya dua kali ganda badan saya. Memang tidak dinafikan, kalau lelaki itu tolak saya sekali saja, boleh terlentang. Tapi saya pernah merawat orang yang terkena gangguan seperti ini.

Saya tahu, apa yang sedang terjadi padanya, ia bukanlah atas kehendak lelaki itu. Ada suatu kuasa lain yang mendorongnya jadi begitu. Kuasa itu sedang cuba menguasai diri dan iman lelaki berkenaan.

Apabila melihat lelaki berbadan sasa itu berdiri, saya pun berdiri. Pada masa yang sama, saya teruskan bacaan ayat al-Kursi untuk melindungi diri saya dari segala bahaya. Itulah pendinding saya.

Lelaki itu tambah agresif, dia mengelilingi saya berkali-kali. Kawan yang datang bersama-sama saya tadi makin takut. Dia juga turut bangun tetapi terus lari apabila melihat lelaki itu seperti hendak mencederakan saya.

Tetapi anehnya, setiap kali lelaki berbadan sasa itu cuba menghampiri saya dia tidak berjaya. Beberapa kali dia hendak menerkam ke arah saya tetapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya.

Kalau hendak diikutkan, dia boleh pukul saya dengan mudah sebab ketika itu jarak antara saya dan lelaki berbadan sasa itu lebih kurang dua depa saja. Tapi dia tidak dapat lakukannya. Hanya mata lelaki itu saja yang tajam memandang saya. Hendak rapat tidak boleh.

Saya terus baca ayat al-Kursi. Lelaki itu masih berpusing-pusing seperti orang bersilat, membuka langkah dan sesekali melepaskan tumbukan angin. Tiada satu pun yang mengenai saya.
Hampir lima minit lelaki itu berbuat begitu tanpa hentinya. Saya lihat mulut lelaki itu membaca sesuatu yang tidak difahami. Kemudian dia menyeru-nyeru nama khadam seperti yang diamalkan dalam ilmu persilatannya.

Saya jerkah lelaki itu: "Dudukkkkkkkk!!!!"

Arahan pertama saya tidak diendahkan. Dia terus mengelilingi saya sambil bersilat dan hendak menyerang saya.

Bila melihat lelaki berbadan sasa itu masih berdegil, saya jerkah sekali lagi. Jerkahan kali ini juga tidak dipedulikan.

Kali ketiga saya jerkah lagi: "Dudukkkkkkkk!!!"

Barulah lelaki berbadan sasa itu duduk. Saya pun duduk semula. Saya teruskan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Hampir sejam, barulah saya dapat memulihkan keadaannya.
Lelaki itu duduk di lantai. Dia menyusun nafasnya yang termengah mengah selepas gagal menyerang saya. Si isteri sapukan air ke muka lelaki tersebut dan memberikannya minum. Saya pula terus merawatnya dengan membaca ayat-ayat al-Quran hingga keadaan lelaki itu benar-benar pulih.

Sebelum pulang, saya tanya lelaki itu: "Mengapa awak tak serang saya tadi?"

Lelaki berbadan sasa itu memberitahu: "Tak boleh ustaz! Tak boleh! Sekeliling ustaz ada cahaya. Saya cuba rempuh cahaya tu tapi tak boleh. Satu lagi, saya nampak keliling ustaz ada orang pakai jubah dan berkopiah putih! Mereka lindungi ustaz!"

Pelik. Malam itu saya tidak memakai kopiah dan berjubah putih. Siapa pula yang dilihat lelaki itu? Saya juga tertanya-tanya cahaya apakah yang dilihat mengelilingi saya?
Lelaki itu memberitahu, di sekeliling saya ada benteng cahaya tebal yang sukar ditembusinya. Cahaya itulah yang menghalangnya daripada menyerang dan memukul saya.

Saya bersyukur kepada Allah kerana telah menyelamatkan saya daripada kejadian yang tidak diingini. Saya meminta lelaki itu beramal sebelum tidur supaya membaca tiga kul, al-Fatihah, kemudian baca ayat al-Kursi untuk pagar diri dan rumahnya daripada segala bahaya.

Saya katakan kepadanya, insyaAllah jika ada orang yang Cuba berbuat khianat kepadanya, tidak menjadi. Dia akan terpelihara  daripada segala perbuatan dan niat jahat makhluk jin, syaitan atau manusia.

Saya beritahu lelaki berkenaan, amalan yang dilakukan selama ini menyeru semangat khadam atau penjaga untuk jadi kuat itu sebenarnya memanggil jin.

Jin sebenarnya sejenis makhluk yang lemah.Saya nasihatkan supaya dia tidak lagi menyeru nama khadam atau berdamping dengan jin. Sebabnya, lama kelamaan akhirnya makhluk tersebut akan menguasai diri kita. Tetapi makhluk jin itu boleh dikalahkan dengan ayat al-Kursi dengan izin Allah. Lelaki itu berjanji beramal dengan ayat-ayat yang saya beri tadi.
Alhamdulillah, sejak itu tidak ada lagi gangguan dialami oleh lelaki berbadan sasa itu.Isterinya memberitahu saya, suaminya tidak lagi mengamuk seperti dulu.

*******************

ULAMA terkenal, Prof. Datuk Dr. Haron Din dan Dr. Amran Kasimin dalam buku mereka yang berjudul Fadilat ayat al-Kursi Untuk Mengatasi Sihir, menyebut sekiranya ayat al-Kursi dibaca dalam rumah, Allah bukan sahaja memberi keberkatan orang yang membacanya, bahkan memelihara rumah tersebut serta semua penghuni, jiran-jiran serta rumah di sekelilingnya daripada kejahatan manusia atau hantu syaitan.

Perbuatan menceroboh, merompak, mencuri dan menculik boleh dielakkan dengan membaca ayat al-Kursi.

Ayat al-Kursi boleh menjadi perisai daripada gangguan makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin, iblis dan syaitan ataupun daripada kejahatan manusia. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Barang siapa membaca ayat al-Kursi apabila baring di tempat tidurnya, Allah memelihara keselamatan dirinya dan mewakilkan dua malaikat menjaganya sehingga ke subuh."

Sekiranya ayat al-Kursi dibaca kepada makanan, Allah akan memberi keberkatan kepada makanan tersebut. Bagi orang yang berdukacita menanggung masalah, ayat ini boleh dibaca untuk menghilangkan segala dukacita yang melanda.

Selain itu, jika seseorang itu membaca ayat al-Kursi di waktu pagi, akan dipelihara oleh Allah sehingga petang. Sebaliknya, kalau orang berkenaan membaca di waktu petang, Allah akan memeliharanya sehingga ke subuh.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Barang siapa keluar dari rumahnya dengan membaca ayat alKursi maka Allah mengutus tujuh puluh ribu malaikat kepadanya, mereka sama memohon keampunan dan mendoakan baginya."


Sumber: Mastika April 2007

1 2 3 4 5 6 7 8 Next