01/08/2006
Suratan Semalam
"Strike!!" jeritan Team Sempoi mengejutkan Shira dari lamunan. Bunyi jatuhan pin ball dan keriuhan pemain di pusat bowling itu sedikit pun tidak mengganggunya malah Shira bertambah leka menyaksikan permainan anjuran pejabat suaminya itu. Pandangannya terarah ke Amir. Dia juga kelihatan ceria menyorak kumpulannya. Bagai mengetahui Shira sedang memerhatikan, Amir menoleh ke arahnya. Pandangan mereka terkunci agak lama sebelum Amir mengangkat kening dan melemparkan senyuman kepada Shira. Senyumannya itulah yang pertama kali mengetuk pintu hati wanitanya. Lamunan Shira kembali melayang, kali ini jauh ke sepuluh tahun yang lalu.
"Kenalkan ini Shira dan Nadia, mereka baru mula hari ni" Jejaka itu menghulurkan tangannya sambil melemparkan senyuman. "Saya Amir," ulasnya masih tersenyum. Entah kenapa degup jantung Shira menjadi laju. Dia bagaikan terpaku di situ. Sebenarnya hatinya bukan mudah terusik dengan mana-mana lelaki sebelum ini. Memang Shira tidak pernah berminat. Namun senyuman Amir bagai mencairkan hati batunya itu.
Hari pekerjaan bermula dengan ceria. Makumlah zaman remaja. Dalam usia begitu, bekerja di restoran makanan segera adalah sesuatu yang menyeronokkan. Shira menjadi cepat mesra dengan rakan kerja yang lain dan hubungan mereka menjadi amat akrab. Tetapi tidak begitu dengan Amir. Shira yang sejak hari pertama sudah tertarik dengannya jadi agak tertekan dengan kedinginan Amir. Yang menghairankan Shira, Amir amat mesra dengan kawan-kawan yang lain. "Dia tak suka aku ke?" getus hatinya berkali-kali. Namun begitu, Shira yang memang bersikat degil dan keras hati ini tetap mencuba memecahkan tembok kedinginan antara mereka. Lama-kelamaan Amir mula bersikap agak terrbuka terhadap Shira. Pun begitu kadang-kadang Amir menumjukkan kemesraannya dan ada kalanya seakan menjauhkan diri. Shira menjadi letih dengan permainan "tarik-tali" itu.
"Abang Zack, kenapa Amir tu macam tak suka je kat Shira?" soal Shira pada rakan kerja yang sudah dianggap abang angkatnya itu. Zack merenung Shira dan perlahan-lahan mengukir senyuman. "Takde lah. Perasaan Shira je tu. Ok je Amir tu dengan Shira abang tengok." balas Zack. Shira merenung tajam ke wajah Zack menunjukkan perasaan ragunya. Zack menjadi serba-salah. "Ok.. kalau Shira nak tau sangat.." Zack mengalah. Akhirnya barulah Shira mengetahui yang Amir baru putus hubungan dengan teman wanitanya.
Pada masa yang sama Shira menyedari yang dia sudah mula pandai merindui Amir. Setiap saat bayang Amir bermain di fikirannya dan keadaan itu membuatkan Shira tidak sabar ke tempat kerja untuk berjumpa buah hatinya itu. "Apa dah jadi? Takkan jatuh cinta kot?" Dia menjadi hairan kerana sebelum ini memang perasaan seperti itu tidak pernah wujud di jiwanya. Lama-kelamaan Amir semakin mudah didekati walaupun dia kelihatan masih menciptakan jurang antara mereka. Tetapi jauh di sudut hati wanita Shira mengatakan bahawa Amir juga menyimpan perasaan terhadapnya. Namum mungkin luka di hatinya yang masih belum sembuh itu belum bersedia untuk disentuh kembali.
Waktu berlalu dan keputusan UPU keluar. Shira diterima masuk universiti. Shira amat gembira dengan keputusan itu tetapi pada masa yang sama hatinya sedih kerana harus meninggalkan rakan-rakan sekerjanya dan lebih-lebih lagi Amir. Mujurlah kampusnya masih di KL. Oleh itu Shira sering mengambil kesempatan mengunjungi kawan-kawannya di situ. Siapa sangka, keadaan berjauhan itu memberi hikmah untuknya. Amir tiba-tiba seakan membuka pintu hatinya terhadap Shira. Hubungan mereka bertambah intim walaupun mereka tidak pernah meluahkan rasa hati masing-masing. Amir juga kerap menelefon. Tuhan sahaja yang tahu betapa seksa hatinya ternanti-nanti panggilan dari Amir. Untuk dia menghubungi Amir tidak sekali. Dia juga ada ego perempuannya sendiri. Sepanjang hubungan di tali telefon itu, tidak sedikit pun keluar topik perasaan jauh sekali cinta. Namun hati Shira berbunga bahagia, maklumlah, buah hati pertama. Malah kawan-kawan juga maklum dengan keintiman mereka. Cuma mereka juga pelik dengan status hubungan tersebut.
Suatu hari Amir tiba-tiba mengenalkan Shira dengan Firdaus yang juga kawan baiknya. Shira memang mengenali Firdaus kerana dia juga sebumbung syarikat cuma berlainan cawangan. Shira sebenarnya kurang menyenangi Firdaus dan kawan-kawannya. Baginya mereka nakal dan kuat mengusik gadis. Sejak perkenalan itu Amir seakan-akan menolak Shira ke arah Firdaus. Perbuatannya itu mengecilkan hati Shira. Dia merasakan Amir mula bermain "tarik-tali" kembali. Firdaus pula beriya-iya benar merapatkan diri. Memandangkan Firdaus rupa-rupanya seorang yang menyenangkan, Shira lantas menyambut kemesraan itu. Tetapi perasaannya masih kuat terhadap Amir. Sakit betul hati Shira apabila Amir seakan-akan menjauhkan diri pula. Dia yang bersungguh-sungguh menyuruh Shira menghubungi Firdaus, tetapi setiap kali Shira dan Firdaus bertemu Amir di tempat kerjanya, Amir dingin seolah-olah cemburu. Dalam masa yang sama Amir masih menghubunginya. Seperti biasa, Amir menunjukkan sikap yang berlainan di talian telefon. Sungguh mesra dan membahagiakan. Shira bingung.
Lama-kelamaan Shira semakin selesa berkawan dengan Firdaus yang pada pandangannya ikhlas dan menyenangkan. Namun dia tidaklah menyimpan perasaan terhadap Firdaus. Cuma Shira rasa selesa dan bahagia mendampingi jejaka ini. Mereka sering keluar bersama, sesuatu yang tidak pernah dilakukan bersama Amir. Tetapi lebih sebagai kawan. "Firdaus rasa selesa berkawan dengan Shira dan..." Firdaus teragak-agak meneruskan kata-katanya. Mata Shira ditenung dalam-dalam. "Firdaus sayangkan Shira." Kini Shira pula kehilangan kata-kata. Dia hanya membisu kerana jauh di sudut hati ini masih ada segunung perasaan terhadap Amir. Dia sungguh bingung. Apakah dia harus mengharapkan Amir yang masih bermain teka-teki? "Firdaus, walaupun aku tidak menyimpan perasaan terhadapnya namun aku bahagia dengan hubungan ini." Shira berkira-kira sendiri di dalam hati. Adakah Amir benar-benar menyayanginya atau hanya Shira yang beranggapan begitu?
Jawapan diperolehi dari pihak ketiga, iaitu dari Zack. "Amir sebenarnya amat menyayangi kau Shira. Namun dia juga sayangkan persahabatannya dengan Firdaus. Itulah yang merobek hatinya sekarang." Shira terkedu mendengar penjelasan Abang Zack. "Akhirnya kuketahui juga isi hatimu Amir." bisik hatinya sayu. Perasaannya bercampur-baur. Terharu kerana tidak bertepuk sebelah tangan dan marah kerana dilayan seolah-olah barang yang bisa diberikan kepada Firdaus. Kenapa Amir tidak berterus-terang dengannya? Tidakkah jelas tertulis di wajahnya tentang isi hatinya terhadap Amir? Memang dia juga bersalah kerana tidak berterus-terang. Tetapi dia tidak mahu menjadi seperti perigi mencari timba.
"Biar kita yang disayangi tetapi jangan kita yang lebih-lebih sayangkan orang lain." selamba ungkapan itu keluar dari mulut ibu. Bagaimana ibu boleh melihat gelora dihatinya? "Apa mak cakap ni?" Shira pura-pura bertanya. "Mak boleh tahu isi hati kau Shira. Tengok tu, aiskrim tu dah cair dari tadi tak dijamah-jamah. Entah ke dunia mana kau melayang." Shira merasakan wajahnya panas menahan malu. "Ya Allah, dah jadi kuah aiskrim ni."
Subuh itu Shira merasakan ketenangan yang luar biasa. Dia sudah menyerahkan diri bulat-bulat kepada yang Esa. Harapannya keputusan yang bakal diambil kelak adalah tepat. Ya, hari ini segalanya akan terjawab. Shira bersiap-siap untuk keluar, bertemu dengan jejaka yang akan diberikan seluruh jiwa dan raganya. Sudah sampai masanya dia mengakhiri segi tiga ini.
"Mama, papa strike!" jerit Lili mengejutkan Shira dari lamunannya. Shira memeluk anaknya itu dengan penuh kasih-sayang. Amir hanya tersenyum memerhatikan gelagat mereka berdua. "Caya lah papa! Give me five!" jerit Lili lagi lalu berlari dan melompat ke pangkuan papanya, Firdaus. "Nanti suruh papa Lili belanja kita semua Mc Donalds tau" usik Liya, isteri Amir yang kini sedang hamil. Shira tersenyum bahagia. Ya Allah, terima kasih diatas kurniaanmu yang indah ini.
Penulis Asal: girl
15:20 Posted in CERPEN PILIHAN | Permalink | Email this
