17/06/2009
Satu Makna Cerita yang Berbeza
Sampan kolek itu teroleng-oleng dipukul alun ombak di tengah samudera. Terkadang ombak menerjang ganas dan terkadang mengelus lembut pipi sampan. Di perut sampan, seorang nelayan tekun melabuh rawan-rawan pukat kecil yang tersedia buat mencari rezeki sesuap nasi. Dia adalah nakhoda kepada sampan kecil yang sekadar ´dipinjamkan´ buat sementara waktu oleh tuan tanah gedaung. Wajah tua nelayan itu sirna dengan pahit maung kehidupan; kepayahan menampung persekolahan anak-anak dan memikirkan makan dan gantipakai untuk seisi keluarga. Rumah bertiang seri Merbau dan Cengal, sudah 40 tahun menjadi payung daripada panas mentari dan basah hujan.
Rawan pukat kecil dilabuhkan perlahan-lahan ke dada laut. Sampan kolek dibiarkan hanyut perlahan-lahan untuk memudahkan rawan pukat berlabuh. Peluh mulai merenik di dahi. Segera dicapai topi mengkuang di perut kolek lalu diletakkan pada kepalanya. Kain batik pemberian isteri tercinta diselempangkan ke leher. Tangannya menyeluk kocek seluar yang lusuh mengambil sehelai sapu tangan merah dan diusapnya ke seluruh muka yang berpeluh.
Berkolek di tengah samudera lepas bukan perkara mudah. Kolek perlu dikemudi sebaik mungkin. Salah kemudi, kolek boleh terbalik dan kolek kehilangan arah. Bahaya menerjang gelora dan badai di samudera luas tersimpan seribu ancaman. Silap hari bulan, rezeki dari perut laut tidak sedikit pun dapat diraih dek rawan pukat tenggelam ditelan ombak ganas. Inilah lumrah kehidupan – berjuang mencari sesuap nasi bukan satu perkara yang mudah.
Di suatu daerah yang lain, tanah pusaka tujuh keturunan melaut dengan rumpunan lalang yang merajai tanah tujuh relung itu. Suatu ketika, tanah pusaka tujuh keturunan tujuh relung itu pernah dihiasi pepohon buah-buahan yang merendang. Mempelam harum manis, merah delima dan beberapa pohon buah-buahan lain. Kini, suasana damai itu laksana ilusi apabila pengusaha tanah pusaka tujuh keturunan tujuh relung itu bersikap acuh tidak acuh menyemai kasih pada tanahnya.
Segala-galanya bermula dari perbalahan tiga beradik mengenai kuasa mengendali tanah pusaka tujuh keturunan tujuh relung itu – Si Along bercadang tanah diusahakan secara berkelompok; hasilnya bahagi sama rata adik beradik. Adik-beradik tanam modal dua tiga ribu, usahakan tanaman kontan. Dua tiga bulan boleh nimati hasil jerih perih mereka. Si Angah bengkeng, katanya cadangan itu tidak polos kerana sepatutnya tanah pusaka tujuh keturunan tujuh relung itu dibahagi sama rata. Terpulang kepada mereka samada ingin diusahakan atau dijual sahaja.
Bangkit Si Usu, mentah-mentah ditolaknya cadangan Si Angah kerana disifatkan lebih mementingkan isi perut sendiri. Si Usu punyai buah fikiran sendiri. Baginya biarlah tanah pusaka disewakan sahaja kepada Si Ah Leong, tokeh cina yang mengusahakan ladang ternakan ayam telur. Cadangan ini sudah bermain lama dibenak fikirnya. Ah leong telah pun memberi ´hadiah´ wang tunai berjumlah RM 8000.00 sebagai imbuhan untuk mendapatkan persetujuan mereka tiga beradik. Duit itu sudah pun digunakan untuk menggantikan teratak buruknya dihujung kampung dengan batu-batu bata. Seandainya cadangannya tidak diterima, Si Usu terpaksa berkais untuk mengganti duit yang telah terpakai itu.
Sengketa tiga beradik tidak berkesudahan. Angkara sengketa, tanah pusaka tujuh keturunan tujuh relung itu terbiar sahaja. Tanah yang tujuh relung itu telah dipenuhi dengan hutan-hutan kecil – pokok tenggek burung, pokok leban, misai kucing dan senduduk mula meliar. Ular, kala, musang dan landak menjadikan tanah pusaka tujuh keturunan tujuh relung itu sebagai tempat bermain bergurau senda. Si Usu ibarat pak kaduk yang malang; berkais pagi dan petang untuk menggantikan semula duit yang diberikan Ah Leong. Rancangannya tersekat angkara tiada kata sepakat.
Nun di hujung tanah pusaka tujuh keturunan tujuh relung itu, ada sepohon durian yang ditanam oleh tiga beradik ini. Mereka bergilir-gilir membaja pohon durian itu setiap dua tiga bulan sekali dengan seribu harapan – pohon ini akan membuahkan hasil yang baik, lazat dan enak rasanya.
Malang seribu malang. Sudah dua kali pohon durian ini berbunga namun sebiji dua tidak pernah lekat. Pada awal musim durian berbunga, pohon ini berseri dengan debunganya. Namun begitu, setiap kali berbunga keesokannya bunga durian itu pasti gugur mencium bumi. Cuma pada tahun ini sahaja pohon durian itu berbuah. Itupun lekatnya setakat tiga biji sahaja. Cukup buat penyedap rasa tiga beradik yang telah mengidam rasa buah durian mereka sejak puluhan tahun lalu.
Di suatu subuh hening, durian yang tiga biji itu gugur. Along segera mengagih-agihkan durian itu kepada dua lagi adiknya – Angah dan Usu. Alang kepalang gembira mereka tiga beradik kerana ´nikmat´ membajai pohon durian bakal dirasai bersama. Mereka sepakat untuk menikmati kelazatan durian itu dalam suasana hening di pundung tepian kali. Kali ini, mereka sepakat membawa keluarga untuk turut serta menjamu rasa durian yang dibajai secara bergilir sejak sekian lama.
Petang itu, pundung tepian kali penuh dengan keluarga dari tiga beradik itu. Si Aalong segera mengambil parang belitung yang tersisip di gelebas dinding. Perlahan-lahan parang belitung itu dipakuk tepat pada pangsa durian supaya mudah terbuka. Pangsa yang sudah terbuka sedikit itu dikuakkan dengan kedua-dua belah tangannya supaya segera isi-isi durian dapat dinikmati. Terkejut bukan kepalang, durian nan sebiji yang dibelah itu dipenuhi dengan berengga dan ulat yang menguit-nguit keluar dari celah-celah pangsa dan isi durian. Jelek. Geli dan mual mula bersarang.
Si Angah tidak berpuas hati, dibelah yang sebiji lagi. Harapan tinggi menggunung diletakkan pada durian miliknya itu supaya isinya dapat dinikmati bersama. Tidak seperti durian milik Si Along yang penuh dengan berengga dan ulat-ulat. Parang belitung segera dipakuk pada pangsa durian bujur yang sebiji itu. Sekali lagi, tiga beradik itu kaget dengan apa yang dilihatnya kali ini. Buah durian milik Si Angah penuh dengan ulat-ulat sahaja. Isi durian langsung tidak kelihatan. Si Along, Si Usu sementelah lagi Si Angah terkulat-kulat menahan marah.
Kini sampailah giliran Si Usu membelah durian yang diberikan kepadanya. Dengan penuh bersemangat Si Usu memnadang wajah semua adik beradiknya dan kaum keluarganya.
“Kalau ada rezeki dapatlah kita semua makan durian ini. Aku yakin, durian ini tidak seburuk durian Along dan Angah,” getus Si Usu.
Malang seribu kali malang. Durian Si Usu lebih teruk daripada durian milik kedua-dua abangnya. Durian Si Usu penuh dengan ulat-ulat yang menguit-nguit keluar. Jangan katakan isi durian, biji durian pun habis dimakan ulat-ulat tersebut. Mereka semua hampa dan kecewa. Pulang dengan seribu wajah kesal. Pohon durian yang dijaga baik, dibajai secara bergilir itu hasilnya ´buruk´ dan tidak setimpal.
Dua kisah ini mempunyai konotasi tersendiri – kisah nelayan mencari sesuap nasi dan kisah tiga beradik dengan tanah pusaka tujuh keturunan tujuh relung serta pohon duriannya. Senario yang terpapar bersulam nilai moral tentang prinsip hidup manusia, adat dan kedangkalan akal mentamsil perbuatan; baik dan buruk. Setiap perbuatan bersandarkan hukum sebab dan akibat – baik balasnya baik dan jahat balasnya jelek.
Nelayan mencari rezeki dengan cara yang halal. Turun meredah samudera mencari rezeki untuk anak-anak biarpun dihimpit oleh tuan tanah gedaung. Ganjaran bagi usaha nelayan ini terbahagi kepada dua; ganjaran pahala di akhirat dan ketenangan di dunia – bahagia dapat membesarkan anak-anak yang bersusun paku biarpun kemiskinan dan kefakiran menjadi ancaman utama.
Tiga beradik sepusat sepusing bertegang urat gara-gara tanah pusaka tujuh relung tujuh keturunan. Masing-masing punyai pendapat sendiri dan tidak mahu sepakat biarpun jalan penyelesaian terbentang luas. Apalah salahnya menerima cadangan Si Along – sama-sama usahakan tanah tersebut dan hasilnya dibahagi sama rata. Satu tindakan yang bijak. Namun, sifat manusia itu memang unik; dikurniakan oleh Allah dengan kekuatan akal untuk mentafsir tetapi dalam masa yang sama ditiupkan sedikit nafsu sebagai ujian. Ternyata mereka gagal mengharungi ujian yang diberikan Allah apabila bertelagah sesama sendiri tanpa ada sebarang keputusan. Tanah terbiar sepi.
Kedangkalan manusia untuk mengawal nafsu menyebabkan ada di antara adik-beradik ini sanggup menerima suapan demi kepentingan peribadi. Dosa dan pahala dilontar jauh dari neraca pertimbangan. Hubungan darah sepusat sepusing direnggangkan secara halus hanya kerana kepentingan peribadi. Masing-masing buat hal sendiri hinggakan amanah yang dipertanggungjawabkan menerusi wasiat dianggap sekadar bait-bait kata pada sekeping kertas.
Allah Maha Agung, Maha Kaya dan Maha Pemurah. Mereka bersatu hanya kerana sepohon pokok durian. Berbuah pun hanya setakat tiga biji. Balasan berbuat dosa bersandarkan hukum sebab dan akibat – berpecah-belah sesama insan, mengabaikan amanah dan menerima suapan (rasuah) terjelma melalui buah-buah durian yang buruk, berulat dan tidak boleh dimakan. Kejelekan berbuat dosa bukan setakat dibalas di akhirat sahaja bahkan bakal mendapat balasan di dunia juga.
05:49 Posted in SUDUT AGAMA 1 | Permalink | Comments (0) | Email this

The comments are closed.